Padah fitnah polis di Facebook

SEORANG kontraktor ditahan di Langkawi, petang hari ini, selepas memuat naik status menghina polis di laman sosial Facebook (FB).

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan 3.10 petang di rumahnya.

Katanya, lelaki itu mendakwa kononnya sepasukan anggota polis berehat di sebuah gerai di Pantai Chenang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Suspek yang menggunakan nama ‘Ruffles Ridges’ memuat naik kata-kata berbaur fitnah itu berserta gambar dalam kumpulan ‘Langkawi Sana Sini’ di FB.

“Sebenarnya gambar itu dirakamkan ketika anggota polis makan tengah hari selepas membuat rondaan di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Iqbal berkata, status terbabit mendapat komen dan persepsi negatif netizen terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas memantau PKP.

Katanya, ketika ditahan, lelaki itu juga berada di kawasan awam dan mengingkari PKP kerana berada di luar rumah tanpa alasan munasabah.

“Dia ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Dia juga turut disiasat bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan