Orang duduk rumah, dia mendaki!

TINDAKAN dua lelaki warga emas mendaki Gunung Lambak dekat Kluang, petang semalam, membawa padah, apabila kedua-duanya ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, lelaki berusia 64 dan 66 tahun itu ditahan kira-kira 2 petang oleh sepasukan polis.

“Ketika rondaan, pihak polis menerima maklumat bahawa terdapat dua lelaki warga tempatan sedang mendaki Gunung Lambak.

“Hasil siasatan awal kedua-duanya tidak dapat memberi alasan yang munasabah mengapa mereka berada di luar rumah ketika dalam tempoh PKP. Justeru itu, mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kluang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Gunung Lambak ditutup sepenuhnya sejak arahan PKP dikeluarkan pada 18 Mac lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan (7) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan