Orang Asli turut dibantu

MASYARAKAT Orang Asli di seluruh negara belum ada berdepan kebuluran akibat kehabisan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ini kerana tindakan segera pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) menghulur bantuan kepada mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary berkata, kaum itu juga bijak menyesuaikan diri menghadapi situasi PKP ini.

Katanya, walaupun sesetengah tempat lewat menerima bantuan kerana terletak jauh di pendalaman, tetapi mereka masih boleh makan makanan sedia ada.

“Kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib Orang Asli yang turut terkensa dengan pelaksanaan PKP dan akan memastikan tidak ada yang tercicir menerima bantuan.

“Setakat ini, kita belum menerima maklumat terdapat Orang Asli kebuluran kerana kehabisan makanan dan kita sentiasa mengambil langkah segera dalam menghulur sumbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan makanan kepada Orang Asli di Kampung Kuala Lah, Gua Musang, hari ini.

Ia bersempena program Misi Bantuan kepada Orang Asli dari Tabung Musa’adah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusof.

Katanya, misi bantuan itu adalah pusingan pertama sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu dan menjelajah ke perkampungan Orang Asli seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan