Operasi nyahcemar dilaksanakan di Masjid Sri Petaling

PEJABAT Kesihatan Daerah (PKD) Lembah Pantai dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur menggerakkan satu Operasi Disinfeksi di Masjid Sri Petaling hari ini.

JBPM dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi berkenaan diketuai Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, Khairul Azuwan Ibrahim bagi menyelaras kerja disinfeksi meliputi kawasan dalaman dan sekitar masjid berkenaan.

Operasi bermula seawal 9 pagi dan berakhir 1 tengah hari itu membabitkan lima pegawai kanan, 27 anggota JBPM Kuala Lumpur dan 15 wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 10 wakil Kualiti Alam membantu dalam tugas pelupusan karpet masjid.

Sebanyak enam kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori dan dua van milik JBPM Kuala Lumpur digunakan bagi kelancaran operasi.

Sementara itu, KKM dan Kualiti Alam masing-masing menyumbang penggunaan empat kenderaan utiliti, dua lori kontena, dan satu forklift.

Selain itu, peralatan nyahcemar yang digunakan ketika operasi membabitkan dua Water Jet, dua Mist Blower milik JBPM Kuala Lumpur dan 16 Knapsack Sprayer serta 12 Mist Blower dari agensi terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19