Op Benteng dipertingkatkan sekat Pati lepas Aidilfitri

MENJANGKAKAN pendatang asing tanpa izin (Pati) akan cuba menyeludup masuk semula ke negara ini melalui ‘jalan tikus’ di Selat Melaka selepas sambutan Aidilfitri, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mempertingkatkan Op Benteng.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Ibrahim Mohamed berkata, Pati mungkin akan cuba masuk semula ke negara ini untuk bekerja selepas pulang beraya.

“Ini memandangkan kegiatan industri sudah beroperasi semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan lebih membimbangkan apabila pendatang asing tanpa izin yang berjaya bolos ke negara ini akan mengimport virus Covid-19.

“Justeru itu, kawalan di sempadan perairan negara akan terus dipertingkat menerusi Op Benteng ketika perayaan Aidilfitri terutama di lokasi titik panas pendaratan iaitu di Selat Melaka,” katanya kepada pemberita di Alor Gajah, Melaka selepas meninjau Op Benteng di Melaka dan Negeri Sembilan malam tadi.

Terdahulu, beliau melawat KD Gagah Samudera milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berperanan sebagai kapal induk Op Benteng.

Hadir sama Laksamana Pertama TLDM Ruzelme Ahmad Fahmy dan Pengarah Bahagian Operasi dan Strategik TLDM Kepten Rosli Abd Ghani.

Op Benteng diaktifkan di bawah National Task Force yang diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan APMM untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Ibrahim berkata, tumpuan utama dalam operasi bersepadu itu adalah mengesan dan menahan tekong laut dan darat yang memainkan peranan dalam mengaturkan perjalanan keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin ke negara ini.