OKU warga emas tunggu bantuan

“ADA dengar dalam berita di televisyen kata kerajaan nak bagi bantuan (berikutan Perintah Kawalan Pergerakan), tapi setakat ini (bantuan) belum sampai lagi.”

Begitu kata orang kurang upaya (OKU) Ibrahim Shahid, 80, yang mendakwa menerima bantuan beras lima kilogram dan minyak masak daripada anak didiknya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Warga emas itu yang mengengsot untuk bergerak, berkata dia masih mempunyai wang untuk membeli barang keperluan harian, jika tidak menerima bantuan kerajaan.

“Saya dapat bantuan bulanan sebanyak RM350 daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan cukup untuk saya seorang di samping jiran-jiran akan membantu untuk membelikannya.

“Pada usia ini, saya tidak mampu lagi ke sana-sini walaupun dengan menunggang motosikal tayar empat bantuan daripada Baitulmal MAIPk (Majlis Agama Islam Perak) sejak lebih 15 tahun lalu,” katanya.

Ibrahim yang hidup sebatang kara berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pisang, Kota Tampan, Lenggong, hari ini.

Katanya, sebelum ini dia mencari rezeki sebagai nelayan di Tasik Kota Tampan Air dengan menggunakan sampan bantuan kerajaan.

“Selain itu, saya juga mengajar al-Quran dan Fardu Ain di rumah sebelum penduduk meminta mengajar di surau kampung dari 1968 hingga 1998,” katanya.