‘Nok buat lagu mano ni…’ [METROTV]

SEGELINTIR peniaga bazar Ramadan mulai risau berikutan kurang arif menggunakan telefon pintar untuk urusan jual beli dan bazar berkenaan tidak diadakan pada tahun ini.

Peniaga air di Kampung Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, Kamariah Yusoff, 51, berkata biasanya menjelang Ramadan, dia bersama rakannya, Saliha Jaafar, 56, sibuk menyediakan segala kelengkapan untuk berniaga.

“Tapi kali ini tiada bazar dan kami tidak tahu untuk berniaga menerusi atas talian, malah istilah ‘PM’, ‘COD’, ‘runner’ pun kami tidak biasa dengar apatah lagi untuk mengiklankan atau mengambil tempahan di media sosial.

“Kami belum memutuskan bagaimana dengan urusan jualan di bulan puasa nanti, tapi mungkin akan buka gerai di depan rumah dan sudah pasti pulangannya nanti tidak selumayan jualan di bazar Ramadan,” katanya.

Dia yang sudah 19 tahun berniaga pelbagai jenis air di bazar Ramadan di cabang tiga Kedai Buloh, Kota Bharu, berkata pendapatan diterima ketika berniaga di bulan Ramadan mencecah RM300 sehari.

Justeru itu, Kamariah meminta agar pihak berwajib membantu peniaga sepertinya yang boleh dikatakan ‘buta’ teknologi untuk menyediakan bantuan pembelajaran khusus atau apa-apa mekanisme bagi membantu peniaga bazar Ramadan.

Situasi itu turut dialami pengusaha kuih tradisional dari Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat, Zanita Mat Ali, 47, yang hanya mengharapkan jualan secara terus iaitu sama ada diletakkan di gerai atau pembeli datang mengambil sendiri di rumahnya.

Lebih 10 jenis kuih tradisional seperti buah tanjong, tahi itik, sekaya, jala emas dan aneka agar-agar dijual oleh anaknya, Siti Nur Aisyah Asyari, 23, di bazar Ramadan sejak lapan tahun lalu.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya meletakkan kuih di lima kedai sekitar Tumpat namun sebaik PKP dilaksanakan, hanya tiga gerai menerima kuih kerana pembeli sudah tidak ramai dan yang ada kalanya jualan tidak habis.

“Keadaan semakin merisaukan apabila bazar Ramadan dibatalkan tahun ini menyebabkan saya tidak tahu lagi macam mana untuk meneruskan jualan sedangkan bahan mentah bertimbun di rumah termasuk beras kisar, tepung gandum, minyak masak dan gula.

“Siti Nur Aisyah ada cuba beberapa kali mengiklankan kuih di kumpulan WhatsApp, tapi tiada sambutan dan untuk jualan kini secara purata hanya 20 bekas sahaja dihasilkan untuk diletakkan di tiga gerai berhampiran,” katanya.

KAMARIAH (tengah) bersama Saliha memeriksa bekas air sambil dibantu anaknya, Wan Nurfatin Nabilah Wan Mohd Rusli. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KAMARIAH (tengah) bersama Saliha memeriksa bekas air sambil dibantu anaknya, Wan Nurfatin Nabilah Wan Mohd Rusli. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan