Nak keluarkan peluh katanya…

MAIN takraw untuk keluarkan peluh, itu alasan diberikan sembilan warga Myanmar ketika ditahan polis dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Langkawi, petang semalam.

Berikutan aduan awam, kumpulan lelaki terbabit yang melanggar PKP ditahan sepasukan polis di kawasan lapang di Kampung Chandek Kura pada 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kumpulan itu adalah antara 34 individu berusia 14 dan 45 tahun yang ditahan dalam operasi berakhir 12 tengah malam tadi.

“Dalam tempoh sama, polis turut menahan lima lagi lelaki warga asing iaitu dua warga Thailand, selain masing-masing seorang lelaki warga Belanda, Libya dan Sudan.

“Dua lelaki Thailand ditahan di Kampung Kisap, warga Belanda dan Libya (Pantai Tengah), manakala lelaki Sudan (Lebuhraya Pantai Chenang),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Iqbal berkata, baki 20 individu ditahan dalam enam siri tangkapan itu terdiri lelaki tempatan kerana kesalahan berhimpun di Kampung Kisap dan Bukit Malut.

“Semua individu terbabit ditahan reman dan disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Malah, beberapa individu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang tugas pegawai polis dan Seksyen 270 KK kerana berkumpul menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit,” katanya.

Beliau berkata, bagi 14 warga asing yang ditahan turut disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan