Musim petai bermula di Muallim

MUSIM petai di daerah Muallim bermula menyebabkan peraih dan penjual mulai sibuk menjual hasil hutan itu bagi menyara kehidupan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Petai banyak didapati di perkampungan Orang Asli di Ulu Slim, Slim Village berhampiran Banjaran Titiwangsa selain Kampung Sungai Jurong, Kampung Balun dan Kampung Sungai Behrang.

Peniaga petai di pekan Slim River, Mohd Kamaruzaman Abdul Aziz, 47, berkata, terdapat lima jenis petai yang dijual iaitu petai padi, petai papan, petai kacang, petai limbat dan petai belalang.

Katanya, beliau memperoleh bekalan dari Orang Asli di Kampung Ulu Slim dengan harga mengikut jenis petai, keadaan petai sama ada muda atau tua serta kekerapan mata petai dan saiz mata petai itu.

“Petai padi amat popular dalam kalangan masyarakat Cina kerana dipercayai lebih lemak isinya, rapuh dan rasanya kurang pedar jika dibandingkan dengan jenis petai lain, ” katanya.

Sementara itu, peniaga petai dekat Kampung Balun, Ali Abd Hamid, 37, berkata, permintaan petai semakin meningkat bermula Ramadan menyebabkan dia kerap ke Ulu Slim bagi mendapatkan bekalan.

“Orang Melayu lebih gemar makan petai papan untuk dijadikan menu masakan atau ulam kerana mata petai ini biasanya lebih besar, apatah lagi yang sudah tua, rasanya lebih sedap.

“Ketika musim petai, harga bagi 10 papan biasanya dijual dengan harga RM10 dan dan RM5 bagi empat atau lima papan, juga bergantung kepada keadaan petai itu.

“Bagi petai yang mempunyai mata agak besar dan kedudukan mata itu rapat, harganya lebih mahal sedikit terutama petai yang sudah cukup tua jika dibandingkan dengan petai muda yang lebih murah,” katanya.

Bagi P Menachi, 68, jualan petai adalah hasil pendapatan utama bagi menyara kehidupan keluarga dan dia gembira kerana kembali dapat menjual hasil hutan itu selepas pendapatan terjejas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.