Musa`adah Covid-19 salur RM135 juta

PROGRAM Musa`adah Covid-19 yang dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu sehingga kini sudah menyalurkan bantuan RM135 juta dalam bentuk bantuan makanan dan wang kepada golongan sasar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bantuan itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YMM) adalah bagi meringankan beban mereka yang terjejas.

Katanya, program itu sudah menjelajah seluruh negara termasuk di kawasan perkampungan Orang Asli dan bukan Islam untuk memastikan golongan sasar dapat dibantu selain tiada kalangan anggota masyarakat kelaparan.

“Kita nak pastikan sekurang-kurangnya mereka ada makan dan minum. Justeru, bantuan sama ada dalam bentuk barangan bersifat kering atau basah atau yang boleh terus dimakan terus disalurkan oleh pelbagai agensi (Hal Ehwal Agama) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Program ini diteruskan lagi bagi memastikan lebih ramai dapat dibantu,” katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis penyerahan Bantuan Musa’adah Covid-19 menjelang Aidilfitri kepada asnaf Negeri Sembilan Pejabat Baitulmal di sini, petang tadi.

Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Datuk Mohamed Husein, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Ruslan Said, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Mohd Zaidi Ramli dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Baitulmal negeri Nor Azmi Musa.

Dalam pada itu, Zulkifli mahu kerjasama membabitkan agensi agama seperti yang dilakukan JAWHAR bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam menyantuni asnaf dan golongan B40 terus dipertingkatkan.

Beliau berkata, usaha dan kerjasama itu penting bagi memastikan program bantuan kepada rakyat yang kurang bernasib baik tidak tersasar.

“Melalui kerjasama seperti ini, usaha kita membantu mereka yang kurang bernasib baik dapat dilakukan dengan berkesan dan saya akan cuba libatkan JAKIM dan agensi agama yang lain di semua negeri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19