Murid ‘ponteng’ sekolah jaga ibu

SEMENJAK Januari lalu lagi Nor Syafira Mohd Razali tidak menjejakkan kaki ke sekolah kerana terpaksa menjaga dan menguruskan ibunya yang sakit.

Dalam usia yang masih mentah, Nor Syafira Mohd Razali, 11, sudah menggalas tanggungjawab sebagai tempat berpaut buat ibunya, Norhayati Che Noh, 45, yang menderita penyakit darah tinggi, kencing manis kronik dan buah pinggang yang baharu dikesan tapi sudah di tahap lima.

Norhayati yang juga mengalami masalah penglihatan yang semakin hari semakin kabur berikutan penyakit kencing manis sejak 15 tahun lalu bergantung sepenuhnya kepada anak tunggalnya itu untuk menguruskan rutin seharian termasuk makan minum, mengelap tubuh dan membuang air.

Norhayati yang juga seorang ibu tunggal berkata, kesihatannya semakin merosot sejak Januari lalu menyebabkan dia tidak boleh bangun dan melihat malah ujian lebih berat apabila disahkan menghidap buah pinggang kronik sejak sebulan lalu dan perlu menjalani rawatan dialisis bermula Jun ini.

“Jika sebelum ini saya masih mampu bangun dan menguruskan diri serta Syafira tapi sekarang kudrat semakin lemah dan malah bukan sahaja untuk bangkit, bercakap sahaja sudah semput.

“Terdetik dalam hati rasa simpati yang teramat pada Syafira kerana dalam usia muda dia sudah menggalas tanggungjawab besar tapi apakan daya, kami hanya tinggal dua beranak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dalam Rhu, Tumpat, semalam.

Rutin harian Nor Syafira adalah menyediakan ubatan untuk ibunya, mengelap badan, menguruskan makan minum dan memakai serta menanggalkan lampin pakai buang ibunya disebabkan rumah mereka tiada tandas dan terpaksa menumpang tandas di rumah jiran atau saudara mara.

Tersepit dengan situasi yang dianggap membebankan anak sehinggakan terpaksa ‘ponteng’ sekolah, Norhayati meminta agar sepupunya, Azman Musa, 51, bersama isteri, Noorinani Rosli, 40, yang sebelum ini menetap di Kuala Lumpur agar pulang ke kampung halaman untuk menjaganya.

“Sepupu dan isterinya pulang ke sini awal bulan lalu bagi membantu menguruskan saya untuk memberi peluang Syafira kembali bersekolah sekiranya sesi persekolahan dibuka kelak.

“Saya tidak mahu keadaan ini menghalang Syafira daripada menimba ilmu kerana hanya dengan ilmu sahaja akan dapat mengubah hidup kami,” katanya yang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.

Terdahulu mereka dikunjungi kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, yang diwakili Che Norhayati Mohamed menyerahkan sumbangan katil dan mesin basuh buat dua beranak itu.

Che Norhayati berkata, sumbangan daripada orang perseorangan itu adalah atas dasar simpati dengan nasib yang dialami Norhayati dan Nor Syafira yang hidup dalam kekurangan dan hanya bergantung kepada bantuan JKM sahaja.

“Saya sudah hadir ke kediaman mereka sebelum ini dan melihat sendiri tidur mereka hanya beralas tilam nipis dan pakaian kotor dibasuh dengan tangan oleh Syafira yang saya kira tugas itu agak sukar dilakukan oleh kanak-kanak seusianya.

“Disebabkan itu saya memohon sumbangan dari seorang penyumbang untuk membelikan kelengkapan ini bagi keselesaan mereka,” katanya.