Mukhriz umum kedudukan hari ini

DATUK Seri Mukhriz Mahathir dijangka mengumumkan kedudukannya sebagai Menteri Besar pada sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar, tengah hari ini.

Kedudukan beliau hampir pasti digantikan calon Menteri Besar baharu daripada Perikatan Nasional (PN) Kedah, selepas 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan ke atas Mukhriz, semalam.

Ketika ini, Mukhriz yang juga ADUN Jerlun sedang mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) yang difahamkan tidak dihadiri dua ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kedah.

Kedua-dua mereka iaitu, EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Halimaton Shaadiah Saad dan EXCO Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Firdaus Ahmad, dilaporkan tidak lagi menyokong kepimpinan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, EXCO Pertanian dan Sumber Tani, Azman Nasrudin yang mengumumkan keluar PKR semalam, turut tidak hadir mesyuarat pagi ini.

Semalam, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada BERSATU.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (4), UMNO (2) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, PKR (5), AMANAH (4), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (4), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (2), UMNO (2) dan Bebas (2).