MPM tidak keluar arahan perketat PKP

MAJLIS Perbandaran Manjung (MPM) menafikan ada mengeluarkan arahan memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut zon di Manjung.

Yang Dipertuanya, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan perkara itu, malah tidak merancang untuk melakukannya.

“Urusan ini adalah di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa individu mengadakan mesyuarat menerusi persidangan video dengan Yang Dipertua MPM yang memaklumkan fasa kedua PKP di Manjung diteruskan dengan lebih ketat mengikut zon.

Ia didakwa untuk mengehadkan pergerakan orang awam yang dilihat semakin meningkat ketika ini.

Zon berkenaan didakwa ditentukan oleh Jabatan Perancang Bandar bermula dari Lumut hingga Beruas dan Kayan, Sitiawan.

Dakwaan itu memaklumkan semua penduduk di zon yang ditentukan hanya boleh keluar membeli barang keperluan di kawasan itu sahaja mengikut tempoh yang ditetapkan.

Sehingga kini, Manjung mencatatkan 19 kes Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan