MOSTI sedia makmal bergerak

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Institut Genom Malaysia (MGI) akan mengoperasikan sebuah Makmal Bergerak Biokeselamatan Tahap 3 (BSL3) bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan ujian diagnostik Covid-19.

Perkara itu diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi Facebook rasminya hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, BSL-3 yang kini ditempatkan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh, Selangor adalah salah satu makmal Biokeselamatan Tahap 3 yang mampu digerakkan ke lokasi bagi membantu KKM melaksanakan ujian itu.

“Hanya tiga kakitangan boleh bertugas pada satu-satu masa di makmal ini kerana ruang terhad.

“Di samping itu, mereka hanya dibenarkan berada di ruang makmal tidak melebihi empat jam disebabkan tekanan udara di dalam ruang ini berlainan dengan persekitaran luar.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan khususnya kepada petugas MGI dan MOSTI amnya, atas usaha ini,” katanya.

Dalam laporan media sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan KKM mampu mengendalikan lebih daripada 11,500 ujian Covid-19 sehari.

Ia seiring peningkatan sehingga 48 makmal kementerian itu dengan kerjasama makmal institusi pengajian tinggi awam, institusi pengajian tinggi swasta, Malaysia Genome Institute (MGI), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) serta Hospital Angkatan Tentera.