Mengaku salah ceroboh Istana Pasir Pelangi

BEKAS pekerja hotel dihukum penjara lima bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas tuduhan menceroboh Istana Pasir Pelangi pada 22 Mei lalu.

Tertuduh, Juel Huran, 35, mengaku bersalah di hadapan Majistret Lee Jun Keong selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, dia menceroboh kawasan Istana Pasir Pelangi pada 9.22 pagi, 22 Mei lalu.

Tertuduh memasuki kawasan istana tanpa pas, kad atau permit yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang yang diberikan kuasa di bawah Perintah Kawasan Larangan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5 (1) Akta Kawasan Larangan 1959 (Akta 298) dan boleh dihukum Seksyen 7 akta sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuannya tertuduh memohon hukuman diringankan kerana menanggung isteri dan dua anak berusia 6 dan 10 tahun, selain tidak bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Benedict Choong Kai-Qi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.