Mengaku halang tugas polis, ingkar PKP

REMAJA yang ditahan polis kerana melakukan aksi ‘wheelie’ di hadapan polis ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Marang hari ini atas tuduhan menghalang tugas anggota polis dan ingkar perintah.

Remaja lelaki berusia 16 tahun membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menghalang penjawat awam iaitu Asisten Superintendan Mohd Najib Mohd Nizam daripada menjalankan tugasnya apabila melarikan diri ketika diminta memberhentikan motosikal di Jalan Kampung Seberang Marang pada 10 malam, 31 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan kedua pula, dia didakwa bergerak dari satu tempat yang lain iaitu Kampung Seberang Marang ke suatu tempat yang lain iaitu di Jalan Kampung Bukit Kor di dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan pada 10.15 malam hari yang sama.

Tertuduh yang didakwa mengikut Peraturan 3 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya L Shantini, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Sebelum ini dilaporkan seorang remaja lelaki bukan sahaja ingkar PKP tetapi turut membuat aksi ‘wheelie’ di hadapan polis dalam kejadian berhampiran lampu isyarat di Seberang Marang.

Selain membuat aksi berbahaya itu, remaja itu turut menunggang motosikal secara melawan arus selain tidak memberi kerjasama apabila bertindak melarikan diri.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan