Melaka terima sumbangan 3,000 pelindung muka

SEBANYAK 3,000 pelindung muka (faceshield) disumbangkan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Melaka kepada tiga hospital di negeri terbabit.

Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Melaka, Ramli Mohd Ali berkata, sumbangan disampaikan kepada Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka, Rahman Mariman yang kemudiannya diserahkan kepada tiga wakil hospital Melaka, Jasin dan Alor Gajah.

Menurutnya, sumbangan pelindung muka berkenaan memenuhi keperluan petugas hospital yang juga barisan hadapan berdepan penularan Covid -19.

“BSMM Melaka mengambil inisiatif mencari sumbangan dari orang ramai dan syarikat korporat bagi membeli bahan keperluan membuat pelindung muka terbabit.

“Kerja pembuatan pelindung muka itu dilakukan sukarelawan BSMM Melaka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika penyerahan sumbangan itu, hari ini.

Hadir sama Timbalan BSMM Negeri Melaka, William Cheong serta wakil syarikat Lion Club Tanjung Bidara yang juga penyumbang program berkenaan.

Ramli berkata, sudah menjadi tanggungjawab sosial BSMM Melaka kepada masyarakat, khususnya kepada petugas barisan hadapan yang setiap hari perlu berhadapan dengan tugas getir bagi merawat pesakit Covid-19.

Katanya, usaha murni terbabit akan terus dilakukan mengikut permintaan dan keperluan semasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19