MDHS sembur nyahkuman enam pasar awam

MAJLIS Daerah Hulu Selangor (MDHS) melakukan kerja semburan disinfeksi dan nyahkuman di enam pasar awam sekitar daerah itu bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika ini.

Yang Dipertuanya MDHS Shukri Mohamad Hamin berkata, operasi semburan nyahkuman dimulakan di Pasar Awam Rasa semalam oleh enam kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA).

Menurutnya, mereka membuat semburan bahan nyahkuman pada gerai, besi railing, kepala paip, singki tandas dan beberapa bahagian lain dalam pasar awam itu dengan teliti mengikut tatacara keselamatan yang ketat.

“Hari ini (semalam) juga kami meneruskan proses kerja yang sama secara berjadual ke lima pasar awam lain di Kalumpang, Kuala Kubu Bharu, Batang Kali, Serendah dan Bandar Sungai Buaya.

“Kami menasihatkan para peniaga dan orang awam mematuhi arahan yang diberikan dari semasa ke semasa demi keselamatan kita bebas dari ancaman wabak berbahaya ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, peniaga di semua pasar awam perlu menjaga peralatan masing-masing yang digunakan kerana sebarang kerosakan yang berlaku setelah pekerja mereka membuat semburan itu tidak akan diganti.

Katanya, mereka juga menempatkan petugas memantau keadaan di pasar awam di bawah seliaan MDHS sepanjang tempoh arahan PKP berkuatkuasa.

“Peniaga yang ada mengalami simptom Covid-19 ini tidak dibenarkan berniaga dan diminta membuat saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Malaysia (KKM) berhampiran dengan segera.

“Kami juga memastikan peniaga dan orang awam tidak berada di pasar awam berkenaan sepanjang kerja semburan nyahkuman dilakukan oleh petugas MDHS itu,” katanya.

Shukri berkata, selain pasar awam operasi sama turut dilakukan di beberapa premis lain termasuklah pejabat cawangan MDHS, terminal bas, tandas awam dan padang permainan kanak-kanak dalam masa terdekat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan