MBSP bangunkan portal eBazar Ramadan

MAJLIS Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bakal membangunkan portal eBazar Ramadan dalam usaha membantu peniaga menjalankan perniagaan secara atas talian pada Ramadan ini.

Semua peniaga di Seberang Perai perlu berdaftar dan barangan jualan mereka akan dimasukkan ke dalam e-Katalog Bazar Ramadan supaya ia menjadi pusat interaksi dengan pembeli.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, portal itu memberi peluang kepada semua peniaga yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mencari rezeki pada Ramadan ini.

“Ini kerana di dalam portal ini akan terdapat e-Katalog Bazar Ramadan yang menyediakan platform untuk peniaga memasukkan barangan jualan mereka dan pembeli juga boleh berinteraksi sebelum membuat belian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara siaran langsung melalui Facebook MBSP, hari ini.

Sebelum itu, Rozali memaklumkan MBSP sudah melaksanakan pemantauan ke atas 71,739 premis sejak PKP dilaksanakan mulai 18 Mac lalu.

Katanya, purata pematuhan sebanyak 71,106 atau 99.12 peratus.

“Sepanjang PKP, MBSP melaksanakan penguatkuasaan dengan menutup sebanyak 633 premis perniagaan yang gagal mematuhi arahan penjarakan sosial,” katanya.

Katanya, pihaknya juga berterima kasih kepada penduduk Seberang Perai kerana menjaga kebersihan apabila terdapat pengurangan kutipan sampah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan