MBSA ikut SOP nyah cemar KKM

OPERASI Nyah Cemar oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama lima hari bermula hari ini dilakukan mengikut garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, pihaknya mengadakan perbincangan sebanyak dua kali dengan pelbagai agensi terbabit termasuk wakil dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.

“Menerusi pertemuan itu, kami berbincang mengenai kaedah dan panduan untuk memastikan operasi nyah cemar dijalankan nanti berjaya.

“MBSA serius dalam hal ini (operasi nyah cemar) dan kami mahu ia berkesan. Justeru kami mengambil langkah untuk merujuk KKM sebelum meneruskan operasi,” katanya kepada pemberita pada Operasi Nyah Cemar MBSA berhampiran Pasar Seksyen 6, Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, operasi berkenaan sebagai tindakan pencegahan menangani wabak Covid-19 yang akan diadakan di kawasan tumpuan awam khususnya di jalan persiaran, jalan di kawasan perumahan dan kemudahan awam.

Katanya, selain daripada kawasan sekitar pasar dan perumahan di Seksyen 6, operasi hari ini membabitkan beberapa kawasan di sekitar Seksyen 8, 7, 3 serta Seksyen 4.

“Operasi hari ini membabitkan 122 petugas daripada pelbagai agensi seperti Alam Flora, SWCorp, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM); pasukan Rela; PKD Petaling serta jabatan dalaman MBSA seperti Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa.

“Selepas Seksyen 6 dan kawasan sekitarnya, operasi ini akan dijalankan di pasar awam dan sekitar Seksyen 16 (7 April), pasar awam dan sekitar Seksyen 25 (8 April) , pasar awam dan sekitar Kampung Baru Sungai Buloh dan pasar awam dan sekitar Bandar Baru Sungai Buloh (9 April) serta pasar awam dan sekitar pekan Subang (10 April),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19