Mayat petugas hantar bantuan makanan ditemui

MAYAT petugas penghantar bantuan bekalan makanan yang lemas selepas bot panjang yang dinaiki bersama dua rakannya karam di Nanga Senyuruk, Ulu Ensiring, Julau, 7 April lalu, ditemui petang ini.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Ismuni Umar berkata, mayat ditemui pada 4.10 petang oleh penduduk rumah panjang.

“Mayat ditemui dalam keadaan sempurna di Lubuk Dabai, Sungai Ensiring.

“Mayat dibawa ke Hospital Julau untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang lemas dikenali Mazian Seliong, 35.

Dua lagi rakannya selamat dalam kejadian itu dengan berenang ke tebing.

Ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan balik selepas menghantar bantuan bekalan makanan dari Sungai Nilau, Ulu Julau dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan.

Berita berkaitan

• Bot karam seorang mangsa hilang