Maut tertembak diri sendiri

SENJATA makan tuan, itu yang berlaku apabila lelaki warga emas ditemui maut akibat tertembak diri sendiri dalam bilik di rumahnya di Taman Air Kuning, Linggi, Port Dickson, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, mangsa, Tam Ah King, 80, ditemui mati dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan senapang patah.

“Sepasukan polis yang menerima laporan daripada anak mangsa pergi ke tempat kejadian iaitu di dalam bilik utama rumah itu dan mendapati warga emas itu dalam keadaan terbaring di atas katil.

“Turut berada bersamanya selaras senapang patah miliknya berada di tepi si mati dan sebatang tongkat di atas lantai,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut pasukan forensik hospital dan pihak polis di tempat kejadian menjumpai kelongsong peluru jenis 12 bore di bahagian bawah katil mangsa.

Menurutnya, terdapat kesan pecah pada cermin tingkap bilik dipercayai daripada bearing peluru digunakan dan menembusi belakang badan mangsa akibat tembakan jarak dekat di bahagian dada.

“Siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang perlakuan atau unsur jenayah.

“Semakan mendapati mangsa memiliki lesen senjata api yang masih sah bagi tujuan penggunaan untuk musuh tanaman.

“Senjata digunakan adalah jenis ‘Benelli Armi dan bedah siasat pada 3.30 petang tadi mengesahkan kematian mangsa disebabkan luka tembakan di dada dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.