Maut rempuh pokok tumbang

SEORANG lelaki warga Myanmar maut, manakala rakannya cedera apabila motosikal yang ditunggangi mereka melanggar sebatang pokok tumbang di Jalan Muda Kuari, Tunjang, Jitra, malam ini.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, Min Than Tun, 48, maut di tempat kejadian, manakala rakannya berusia 35 tahun sekadar cedera ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.56 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Che Kob Che Dan tiba di lokasi 9.13 malam.

Katanya, operasi disertai tujuh anggota dan dua jentera dari BBP Jitra.

“Setibanya di lokasi didapati dua mangsa di tempat kejadian dan seorang daripadanya disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

“Sebahagian pokok yang tumbang dialihkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera ringan dibawa ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut,

Katanya, BBP Jitra melakukan pemantauan di kawasan itu supaya kesemua sisa-sisa pokok dibersihkan dan tidak membahayakan pengguna lain.

“Operasi tamat sepenuhnya pada 9.55 malam,” katanya.