Maut rempuh kereta buat pusingan U

SEORANG penunggang motosikal maut selepas merempuh kereta yang membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan di Lebuh Perdana Hi Tech di Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari, mangsa Mohd Anuar Abdul Rahman, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai menunggang motosikal Kawasaki Ninja 600 dari arah Kulim.

“Siasatan awal mendapati kereta Proton Persona terbabit dipercayai datang dari arah Kulim Utama Fasa 2 menghala ke Kawasan Perusahaan Kulim.

“Tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa merempuh kereta terbabit yang sedang membuat pusingan U,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusuf berkata, akibat kemalangan, penunggang motosikal terbabit maut di tempat kejadian, manakala seorang penumpang kereta patah tangan kiri dan luka di muka.

Beliau berkata, mangsa maut dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.