Mati terdampar atas batu

 

IKAN lumba-lumba ditemukan mati terdampar di atas batu di Pantai Ban Pecah, Parit Buntar, hari ini.

Ketua Pangkalan Jabatan Perikanan Kuala Kurau, Nazri Mohd Noh berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mamalia itu daripada nelayan pada 12 tengah hari.

Menurutnya, empat anggota Cawangan Kawal Selia dan Penguatkuasaan Kuala Kurau dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan.

“Ikan sepanjang 2.23 meter dengan berat anggaran 80 kilogram itu ditemui terdampar di atas batu di pantai itu berhampiran Tanjung Piandang.

“Siasatan awal mengenal pasti ikan lumba-lumba itu adalah dari spesis Bottle Nose Dolphin dan dipercayai mati sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaannya ketika ditemui,” katanya.

Katanya, bangkai ikan lumba-lumba terbabit dilupuskan dengan cara ditanam di kawasan berhampiran dan punca kematiannya masih dalam siasatan.