Masjid Kapitan Keling agih ‘nasi berkat’

BAGI meneruskan tradisi makan nasi dalam talam yang diadakan pada setiap malam 27 Ramadan di Masjid Kapitan Keling di George Town, Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (IMcom) membuat kelainan tahun ini dengan mengedar 1,000 pek agihan ‘nasi berkat’ kepada orang ramai.

Presiden IMCom, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihaknya tidak dapat mengadakan moreh atau makan beramai-ramai dalam talam sempena malam 27 Ramadan tahun ini yang menjadi tradisi sejak 200 tahun lalu.

“Petang ini kami mengedarkan agihan nasi berkat berupa nasi minyak berlaukkan ayam masak pedas, daging masak kicap, dalca dan acar sempena malam 27 Ramadan.

“Kebiasaannya, kami meraikan malam ini bersama-sama dengan masyarakat Islam dengan makan nasi dalam talam membabitkan 2,000 orang selepas selesai menunaikan solat terawih.

“Tapi, memandangkan negara dilanda pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKPB, kita mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan Jabatan Kesihatan dengan memberi makanan dalam bentuk bungkus untuk membolehkan masyarakat terus menikmati juadah nasi talam ini di rumah,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan nasi berkat itu di George Town, hari ini.

Beliau berkata, selain orang awam, pihaknya turut menyediakan 400 pek nasi berkat untuk petugas barisan hadapan yang diedarkan di lima balai polis di daerah Timur Laut, hospital, Rumah Warga Tua Jalan Kedah dan balai bomba.