Masjid bantu komuniti bukan Islam

MESKIPUN berbeza agama dan bangsa, ia bukan halangan buat Masjid Al-Wustha, Guar Chempedak di Yan membantu komuniti bukan Islam yang terputus bekalan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi kariah masjid itu Mohamad Nizam Mohd Noh berkata, seramai 60 keluarga bukan Islam dibantu dalam bentuk keperluan asas menerusi sumbangan derma dan wakaf tabung masjid.

“Sebenarnya, pihak masjid sudah lama menjalin hubungan baik dengan komuniti bukan Islam yang tinggal di sekitar kariah ini.

“Banyak aktiviti yang dilakukan bersama seperti mengajak mereka ke majlis berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan ketika mereka menyambut perayaan masing-masing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Nizam yang juga imam masjid berkata, sejak PKP berkuat kuasa, ramai masyarakat di kawasan itu hilang sumber pendapatan memandangkan rata-ratanya petani dan bekerja sendiri.

“Pada awalnya, saya menjangkakan tidak ramai masyarakat bukan Islam yang terjejas, namun apabila kita ziarah rumah mereka, rupanya ramai yang memerlukan bantuan.

“Jadi, peruntukan yang ada, selain kita bantu penduduk yang beragama Islam, kita turut berkongsi rezeki bersama komuniti lain,” katanya yang memberitahu usaha itu secara tidak langsung meyakinkan penyumbang untuk terus menderma.

Menurutnya, setakat ini 80 peratus daripada pendapatan masjid adalah daripada derma dan wakaf anak kariah serta penyumbang luar.

“Sepanjang PKP, kita sudah membelanjakan lebih RM15,000 bagi membantu 600 keluarga yang memerlukan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan