Masih berdegil ingkar PKP

JUMLAH tangkapan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Terengganu meningkat kepada 94 orang, hari ini berbanding 84 orang, semalam.

Peningkatan itu sekali gus menunjukkan masih ada individu yang berdegil dengan melakukan aktiviti di luar rumah ketika perintah berkenaan dilaksanakan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, setakat 8 pagi ini, lapan daripada 10 individu yang ditahan adalah wanita termasuk empat warga asing berusia antara 17 hingga 39 tahun.

“Jumlah tangkapan di Kemaman masih kekal iaitu seramai 32 orang, diikuti Kuala Terengganu (23), Besut (16), Marang (12), Dungun (10) dan Setiu (1),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, seramai 10 tangkapan baru membabitkan daerah Besut seramai lima orang, Kuala Terengganu (3) dan Marang (2).

“Polis berpuas hati dengan kadar pematuhan masyarakat di Terengganu yang sentiasa meningkat sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu sehingga kini mencapai 96 peratus.

“Kita mencuba pelbagai kaedah termasuk rondaan di jalan kampung dan pendalaman serta taman perumahan bagi memastikan masyarakat mematuhi PKP yang dilaksanakan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan