MARA sumbang PPE untuk petugas barisan hadapan

INSTITUSI Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) giat berusaha menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, sebanyak enam hospital serta dua klinik bakal menerima perisai muka menggunakan teknologi cetakan tiga dimensi (3D) dihasilkan Institusi Pendidikan MARA (IPMA).

“Hospital yang bakal terima perisai muka 3D membabitkan Hospital Kubang Pasu, Kedah; Hospital Klang, Selangor; Hospital Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang manakala empat fasiliti di Johor masing-masing Hospital Tangkak, Hospital Muar, Hospital Kluang dan Klinik Sungai Mati serta Klinik Kesihatan Sauk, Perak.

“Sementara itu, dua GIATMARA dari Rasah Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur serta Kolej Kemahiran Tinggi MARA Rembau pula menggunakan kemahiran tenaga pengajarnya menghasilkan sebanyak 50 hood, 60 sarung kaki dan 350 helai baju PPE.

“Kesemua peralatan itu akan disumbangkan kepada Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan dan Hospital Ampang sebagai salah satu pelindung bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, inisiatif berkenaan sebagai sumbangan pihaknya kepada negara dalam usaha menambah jumlah keperluan PPEbarisan hadapan ketika menangani pandemik koronavirus baharu (Covid-19).

“Sumbangan kita tidaklah besar, tetapi mengambil kira keadaan semasa yang memerlukan kemahiran dan kepakaran tenaga pengajar TVET yang sedia ada, kita mampu berusaha dan tampil memberi sumbangan bagi bersama-sama barisan hadapan negara dalam menangani pandemik ini.

“Selain kelengkapan, warga kerja MARA juga turut menggerakkan sumbangan barangan makanan serta kelengkapan ibadat, terutama telekung solat untuk barisan hadapan bagi memudahkan mereka,” katanya.

Beliau berkata, MARA turut melancarkan Tabung MARA Prihatin bagi menggalakkan warga kerja menyumbang dan akan disalurkan kepada Tabung Covid-19 di peringkat kebangsaan.

PENUTUP muka dihasilkan MARA untuk membantu petugas barisan hadapan Covid-19. FOTO Ihsan MARA
PENUTUP muka dihasilkan MARA untuk membantu petugas barisan hadapan Covid-19. FOTO Ihsan MARA

  • Lagi berita berkaitan Covid-19