Mapim lancar Program Jelajah Peduli Ummah

BAGI membantu golongan memerlukan dan terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melancarkan Program Jelajah Peduli Ummah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata, program itu merupakan kesinambungan kepada usaha sedia ada bagi menangani Covid-19 dengan penambahbaikan bersempena Ramadan dan Syawal.

Ahmad Sani berkata, misi bantuan kemanusiaan berskala besar yang bermula hari ini sehingga 23 Mei itu membabitkan zon utara terdiri dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Menurutnya, program ini mensasarkan empat misi iaitu bantuan makanan asas, Ummah Double Decker Mobile Clinic, Program 365 Hari Aku Dengan Al-Quran dan Tazkirah Jelajah Ramadan.

“Ramai rakyat masih terkesan dengan krisis kewangan lebih-lebih lagi PKP dilanjutkan ke fasa ke lima yang menjejaskan pendapatan peniaga yang tidak dapat beroperasi termasuk mereka yang hilang pekerjaan,” katanya kepada media pada majlis pelancaran program berkenaan di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam, Datuk Roslan Wahab dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Norhafifi Ismail.

Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 8,000 pek makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, makanan dalam tin berjaya dikumpul dan akan diagihkan kepada golongan yang dikenal pasti.

“Program ini dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Ahmad Sani berkata, setiap bantuan diserahkan itu mempunyai kod bar tersendiri yang boleh diimbas menggunakan aplikasi telefon mudah alih bagi memastikan ia sampai ke tangan penerima.

Katanya, Ummah Double-Decker Mobile Clinic Program adalah klinik bergerak atas bas dua tingkat dengan prasarana 4 bilik rawatan dan fasiliti perubatan berserta khidmat sukarelawan dalam kalangan petugas kesihatan.

“Inisiatif ini bertujuan menyediakan kemudahan kepada masyarakat luar bandar, khususnya golongan asnaf yang memerlukan rawatan.

“Manakala, Program 365 Hari Aku Dengan Al-Quran adalah program tilawah harian yang akan disiarkan secara langsung di laman sosial Mapim bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk turut serta membaca Al-Quran bersama qari terpilih sambil membantu menyemak hukum tajwid berkaitan,” katanya.

Katanya, Mapim membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan