Mantapkan skil karom dalam tempoh PKPB

“WALAUPUN di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kami mengambil ruang ini untuk berlatih secara lisan bersama pasukan.

“Sejak sebulan lalu, kami hanya berlatih sendirian di rumah masing-masing. Bila kerajaan umum PKPB, kami mengambil masa untuk memantapkan permainan, dengan sesi bertukar pendapat,” kata Ahmad Said.

Dia bersama pasukan karom kabin (TCC) Seksyen 24 Shah Alam mengadakan pertemuan hari ini untuk mengasah skil permainan dengan hanya penerangan daripada ketua pasukan.

Mengamalkan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka, beliau berkata, sebagai sebuah pasukan yang sebelum ini menyertai pelbagai pertandingan karom di seluruh negara, mereka akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan 18 Mac lalu dan menghentikan latihan serta merta.

“Selepas lebih sebulan, kami bertemu malam ini untuk memantapkan skil setiap pemain dan berkongsi pandangan.

“Ia adalah pengalaman baru kerana sebelum ini kami berlatih secara terus, tetapi musim PKPB ini hanya latihan secara lisan dan berlangsung selama kurang 10 minit. Kebetulan, kami semua berjiran,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihaknya faham keperluan untuk akur prosedur operasi standard yang dikeluarkan KKM menyebabkan mereka mengambil inisiatif sendiri untuk berlatih dengan cara begitu.

Ahmad berkata, biarpun agak kekok dengan corak latihan begitu, mereka yakin dapat meningkatkan kemampuan pemain untuk menyertai kejohanan pada masa depan.

“Kami tidak dapat bermain seperti biasa, tetapi penerangan seperti ini sudah cukup,” katanya.