Mangsa Covid-19 nafi rentas negeri lawat orang sakit

“SAYA menafikan kenyataan yang tular mengatakan saya rentas negeri. Memang saya pernah ke Kuantan sebelum ini tetapi bukan melawat orang sakit,” kata mangsa ke-111 Covid-19 di Terengganu.

Lelaki itu berkata, dia ke Kuantan kerana membuat rawatan penyakit darah tinggi dan masalah dalam kepala yang sudah lama dihidapi di Kuantan Medical Centre (KMC).

“Selasa lalu (19 Mei) saya ke KMC untuk mengambil ubat darah tinggi dan membuat rawatan susulan masalah dalam kepala.

“Disebabkan penularan wabak Covid-19, saya diarahkan untuk menjalani ujian saringan sebelum mendapatkan rawatan susulan dan hasil ujian itu saya didapati positif wabak berkenaan,” katanya yang tinggal bersama ibu dan bapa di Kemaman.

Dia mengakui terkejut dimaklumkan dia positif Covid-19 kerana mendakwa setiap hari dia banyak menghabiskan masa di rumah dan tempat kerja sahaja selain sesekali ke pasar raya di bandar Chukai.

Katanya, berikutan itu dia dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan sekali lagi menjalani saringan Covid-19 di hospital berkenaan pada hari sama.

Bagaimanapun katanya, hasil saringan di HTAA mendapati keputusan sebaliknya apabila ujian itu menunjukjan dia negatif wabak berkenaan dan kini menunggu hasil saringan kedua yang dilakukan pihak hospital, kelmarin.

“Sekiranya hasil ujian negatif, kemungkinan besar saya akan dibenarkan pulang hari ini,” katanya yang sudah 15 tahun bekerja di syarikat cari gali minyak di Kemaman Supply Base (KSB), Kemaman.

Justeru itu katanya, dia kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan kenyataan yang secara tidak langsung menggambarkan yang dia sengaja melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu dengan melakukan rentas negeri untuk melawat orang sakit sekaligus menerima kecaman daripada netizen.

“Sejak penularan wabak Covid-19 ini, saya memang sentiasa menjaga keselamatan diri dan mengamalkan langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman dan menjaga jarak ketika berada di luar rumah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, berikutan itu kedua ibu bapanya serta saudara yang mempunyai kontak rapat dengannya diarah menjalani ujian saringan Covid-19 termasuk semua pekerja di syarikat kerjanya.