Mana nak lari…

SEORANG lelaki dikejar polis kira-kira 20 kilometer (km) selepas cuba meloloskan diri daripada ditahan di Taman Intan dekat Kluang, hari ini.

Lelaki berusia 35 tahun itu berjaya ditahan selepas kereta Proton Wira Aeroback dipandunya terbabas berhampiran lampu isyarat di kawasan itu, 3.40 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, sebelum itu, pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) mendapati kenderaan dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan berhampiran kilang kayu di Batu 4, Jalan Kluang-Mersing.

Katanya, ketika anggota MPV menghampiri untuk membuat pemeriksaan, suspek tiba-tiba memecut kenderaan dipandunya menghala ke bandar Kluang sebelum dikejar polis kira-kira 20km.

“Pasukan peronda menghubungi Bilik Gerakan untuk mendapatkan bantuan kerana suspek cuba melarikan diri ke arah Ayer Hitam, namun sebaik tiba di Pusat Rekreasi Zenxin lelaki, berkenaan berpatah balik ke bandar Kluang.

“Dua kenderaan pasukan peronda yang membuat sekatan di lampu isyarat berhampiran Felda Ayer Hitam juga gagal menghalang apabila satu daripada kenderaan polis dilanggar di bahagian belakang oleh suspek,” katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.

Mohd Abduh berkata, polis terus mengejar kenderaan suspek hingga ke Taman Intan dan dua Unit Rondaan Bermotosikal serta Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Kluang membuat sekatan di lampu isyarat berhampiran Taman Kluang Barat.

“Di sini, suspek bertindak nekad merempuh motosikal serta kereta pengguna jalan raya sebelum kenderaan dipandunya terbabas ketika sampai di lampu isyarat berhampiran Taman Intan.

“Kesempatan ini digunakan polis untuk menahan suspek sebelum pemeriksaan dilakukan mendapati dia membawa dadah,” katanya.

Mohd Abduh berkata, polis menemui lima paket plastik lut sinar mengandungi dadah heroin anggaran berat tiga gram dan dua paket lut sinar lagi mengandungi dadah syabu anggaran berat 1.05 gram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.