Malang nasib pencuri

SEORANG lelaki cuba mengambil kesempatan mencuri dua tong gas ketika penduduk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah warung di Kampung Barambang, Batu 3, Ranau, hari ini.

Bagaimanapun, perbuatan itu disedari empat anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang menjalankan rondaan Ops Covid-19, pada 11.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, suspek berusia lingkungan 40 tahun itu ditemui mengangkat dua tong gas untuk dimasukkan ke dalam kereta jenis Proton Saga BLM di tepi warung terbabit.

“Hasil pemeriksaan ke atas badan suspek, polis menemui beg silang mengandungi peralatan mengumpil kunci.

“Selain itu, mangga pintu warung yang tidak beroperasi itu turut didapati mempunyai kesan dipecah masuk,” katanya dihubungi.

Menurutnya, pemilik warung dihubungi dan dia mengesahkan terdapat dua tong gas yang hilang.

“Susulan itu, suspek ditahan dan dibawa ke IPD Ranau atas kesalahan jenayah mencuri serta ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.2) 2020,” jelasnya.

Sammy berkata, suspek yang bekerja sebagai petani mempunyai rekod lampau membabitkan kes pecah rumah dan dadah.