Maki polis sebab pelekat di cermin kereta

PADAH mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun pegawai polis, seorang lelaki ditahan dalam sekatan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Jalan Raya Syed Alwi, Kangar, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian 10.45 pagi itu lelaki berusia 30 tahun itu pada awalnya ditahan kerana tidak membawa MyKad ketika memandu Toyota Vios.

Katanya, bagaimanapun dia secara tiba-tiba berang dan mengeluarkan perkataan kesat apabila salah seorang pegawai kanan polis bertanyakan mengenai pelekat satu pertubuhan yang ditampal di cermin keretanya.

“Suspek mempersoalkan tindakan pegawai kanan berkenaan yang bertanyakan kepadanya dan meminta pegawai terbabit untuk tidak mencampuri urusannya.

“Malah dia juga dengan biadap mengeluarkan perkataan ‘babi’ dan bersikap agresif kepada pegawai berkenaan sehingga memaksa pihak kami menahannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu suspek tidak menemui sebarang peralatan yang terlarang dan membahayakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan pergaduhan serta menjalani hukuman bagi kesalahan berkaitan dadah.

“Dia kini ditahan bagi membantu siasatan kerana tindakannya yang menghalang penjawat awam dari melaksanakan tugas serta mengeluarkan kata-kata jelek terhadap polis,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 manakala suspek akan direman pada esok.