Maki ibu, ugut bunuh kakak

BERANG ibunya tidak memberikannya wang untuk membeli dadah menyebabkan seorang lelaki memaki ibunya dengan perkataan lucah di sebuah rumah dekat Kampung Lembah, Penaga di Kepala Batas petang semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, lelaki berusia 37 tahun berkenaan dikatakan meminta wang daripada ibunya berusia lingkungan 60-an tetapi permintaannya tidak diendahkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek kemudiannya memaki ibunya dengan perkataan lucah.

“Kejadian itu didengari adik-beradik suspek yang tinggal berhampiran lalu menegurnya sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Kakak lelaki berkenaan kemudiannya menghubungi polis kerana takut dan suspek hanya diberikan nasihat oleh polis yang ke lokasi sebelum dia akur akan kesalahannya.

“Sebaik polis beredar, suspek bertindak pula mengugut mahu membunuh kakaknya itu dan mencabarnya membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa terus membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatannya.

“Susulan laporan wanita itu, polis menahan adiknya pada 11 malam tadi untuk siasatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah,” katanya

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.