Mais sumbang bekalan makanan

SEJUMLAH 269 keluarga di Sungai Lui serta 120 pelajar Maahad Tahfiz Sungai Lui dan Maahad Tarbiah Islam Assofa, Pangsun, Hulu Langat, menerima bekalan makanan asas sumbangan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Setiausaha Mais, Dr Ahmad Shahir Mahktar menerusi satu kenyataan berkata, pengagihan bekalan makanan asas itu membabitkan peruntukkan berjumlah RM19,450 dan dijalankan Mais bersama anak syarikatnya iaitu Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras).

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) Mais bersama anak syarikat menyerahkan bantuan makanan asas kepada 269 keluarga di Sungai Lui serta 120 pelajar Maahad Tahfiz Sungai Lui dan Maahad Tarbiah Islam As Sofa, Pangsun.

“Sebanyak 389 set makanan asas yang terdiri daripada beras, bihun, tepung gandum, kicap, susu pekat dan gula bernilai keseluruhan RM19,450 sudah diserahkan kepada penerima yang layak,” katanya.

Menurut Ahmad Shahir, pihaknya amat berterima kasih kepada semua yang terbabit dalam penyempurnaan edaran bantuan itu terutama kepada pihak penyumbang dan penerima.

Bantuan yang disalurkan ini adalah hasil daripada kutipan Tabung Prihatin Covid-19 Mais yang disumbangkan orang ramai.

“Turut serta dalam penyampaian bantuan kali ini ialah Syarikat QSR Brands yang membuat sumbangan set makanan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus dalam memerangi wabak Covid-19.

“Terima kasih kepada penyumbang yang membantu Mais dalam menyampaikan bantuan kepada yang memerlukan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19