MAIK agih zakat RM12.6 juta

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengagihkan zakat RM12.6 juta kepada asnaf sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya menyalurkan agihan melalui Program Prihatin MAIK bagi membantu keluarga asnaf dari seluruh negeri yang terjejas susulan penularan wabak Covid-19.

“Untuk fasa pertama PKP sehingga 31 Mac lalu, jumlah agihan zakat mencapai RM4.7 juta manakala bagi fasa kedua pula, MAIK membuat penambahan sebanyak RM7.9 juta.

“Bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan Program Prihatin MAIK serta mengelakkan keciciran, kami memanfaatkan 603 rangkaian masjid bandar, jajahan dan mukim di seluruh negeri untuk mengagihkan bantuan kepada asnaf terkesan di kawasan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu, hari ini.

Tengku Mohamad Rizam berkata, bagi fasa pertama Bantuan Prihatin MAIK, pihaknya menumpukan kepada enam kumpulan bantuan utama iaitu agihan zakat bulan Mac kepada asnaf fakir miskin berjumlah RM3.5 juta yang disalurkan kepada 9,015 asnaf.

Beliau berkata, MAIK turut menyalurkan sumbangan khas kepada asnaf melalui masjid bandar, jajahan dan mukim membabitkan agihan zakat sebanyak RM603,000 selain bekalan makanan asas dengan kerjasama kerajaan negeri berjumlah RM316,000.