Madrasah kerugian RM3,500 dipecah masuk

MADRASAH Nuril Iman, Taman Pelangi, Sentul di Kuala Lumpur, kerugian RM3,500 selepas dipecah masuk hari ini.

Kejadian itu disedari seorang daripada ahli kariah madrasah itu ketika ingin melaungkan azan Maghrib.

Setiausaha Madrasah, Khamdan Suadi berkata, sebelum kejadian itu, pihaknya ada menyedari individu menaiki sebuah motosikal berhenti di luar pagar.

Menurutnya, mereka tidak mengesyaki apa-apa yang mencurigakan kerana menyangka individu terbabit yang berteduh daripada hujan.

“Bagaimanapun ketika saya datang untuk melaungkan azan Maghrib, saya terkejut melihat surau madrasah ini dipecah masuk sedangkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami memang mengunci tiga pintu utama.

“Individu itu memecah masuk bilik mesyuarat, pejabat, bilik peralatan dan melarikan wang di dalam tabung serta kamera litar tertutup (CCTV).

“Saya kemudian terus menghubungi Balai Polis Sentul memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi malam ini.