Madec perkenal inisiatif bantu koperasi

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) memperkenalkan beberapa inisiatif kewangan bagi membantu koperasi menghadapi kelembapan aktiviti perniagaan dengan jumlah keseluruhan RM1 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia bakal memberi manfaat kepada 14,628 buah koperasi yang berdaftar di seluruh negara.

Menurutnya, koperasi akan diberi penangguhan daripada mendeposit keuntungan bagi tahun kewangan 2019 ke Akaun Deposit Koperasi (ADK) yang bakal memberi manfaat kepada 14,000 koperasi dengan jumlah tunai terbabit dianggarkan sebanyak RM600 juta.

Katanya, koperasi diberikan pengurangan caruman ke Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) kepada lapan peratus berbanding 15 peratus kadar sedia ada daripada untung bersih koperasi untuk tempoh kewangan mulai 31 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020 dengan anggaran sebanyak RM333 juta lebihan likuiditi dalam gerakan koperasi dapat dimanfaatkan untuk memulihkan perniagaan yang terjejas.

“Koperasi boleh mendapat pembiayaan dalam bentuk soft-loan yang disediakan di bawah Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) sehingga RM50,000 tanpa cagaran selama enam bulan untuk tempoh sepanjang wabak.

“Proses dan tempoh kelulusan akan dipermudah dan dipercepatkan. Bagi tujuan ini, sebanyak RM15 juta disediakan.

“Selain itu, koperasi juga disediakan kemudahan pembiayaan melalui Dana Likuiditi Pusat (CLF) untuk tempoh jangka pendek setahun dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000.

“Jumlah peruntukan terbabit adalah RM50 juta dengan sasaran 100 buah koperasi yang benar-benar memerlukan suntikan kecairan jangka pendek bagi meneruskan operasi perniagaan koperasi di sepanjang tempoh perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Wan Junaidi berkata, geran bantuan kecemasan turut disediakan khusus untuk koperasi yang terjejas teruk dengan pandemik Covid-19 dengan jumlah maksimum pembiayaan sehingga RM30,000 bagi setiap koperasi membabitkan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Menurutnya, program Jualan Harga Patut Koperasi dengan peruntukan RM1 juta akan dilaksanakan dengan serampang dua mata bagi membantu anggota dan masyarakat lain mendapatkan beberapa barangan keperluan harian pada harga berpatutan disamping membantu memulihkan perniagaan koperasi.

“Program ini membabitkan 200 koperasi seluruh negara dan dijangka dapat meningkatkan perniagaan sebanyak RM30,000 bagi setiap koperasi.

“Insentif untuk meningkatkan aliran tunai membolehkan koperasi terus aktif dan menjaga kebajikan seramai 6.05 juta anggota koperasi.

“Diharapkan melalui inisiatif baharu ini, ia akan dapat membantu dan mengurangkan bebanan koperasi sepanjang tempoh PKP,” katanya.