Lokap di Kelantan mampu tampung pesalah PKP

POLIS tidak berdepan masalah kesesakan lokap sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, setakat ini lokap polis di negeri itu masih luas dan boleh menampung tahanan PKP.

“Ada juga kita bagi jamin terus. Kita tengok keadaan seseorang itu sebelum dimasukkan ke lokap, kita akan memeriksa suhu badan terlebih dahulu.

“Jika kita mendapati suhu mereka agak tinggi, kita akan beri jamin terus,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja, Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

Hasanuddin berkata, sehingga kini seramai 375 individu ditahan kerana melanggar PKP sejak 18 Mac sehingga lewat malam tadi.

“Di sini, jelas menunjukkan walaupun kita sudah mengambil pendekatan tegas, masih ada segelintir yang mengingkari PKP yang susah memasuki hari ke-20.

“Ada yang kita tangkap kerana berhimpun dan tidak dapat memberi alasan munasabah. Bila ditanya adakah mereka tahu menjadi kesalahan sekiranya berhimpun? Mereka menjawab tahu.

“Namun bila kita bertanya kenapa berhimpun, mereka hanya senyum menyebabkan kita terpaksa menahan,” katanya.

Memasuki hari ke-20 PKP, Hasanuddin berkata, pematuhan rakyat Kelantan terhadap perintah itu sudah mencapai 95 hingga 96 peratus.

“Jika melihat keadaan terkini, jumlah kenderaan sedikit bertambah berikutan terdapat kelonggaran dengan dibenarkan bergerak sejauh 10 kilometer dari rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan