Lima tahun lonjak kualiti pendidikan

MALAYSIA menyasarkan baki tempoh lima tahun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk mencapai kategori sepertiga teratas penarafan kualiti sistem pendidikan antarabangsa.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau percaya dengan semangat, komitmen dan dedikasi semua guru akan membolehkan negara berjaya mencapai matlamat itu.

“Hari ini saya berasa agak lega dan gembira kerana hasil kerja keras guru melaksanakan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, negara kita berjaya melangkah keluar daripada kelompok satu pertiga terbawah.

“Pencapaian murid kita dalam ujian Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA) bagi mata pelajaran Matematik meningkat daripada 421 mata pada tahun 2012 kepada 440 mata dalam 2019, dan dalam mata pelajaran Sains juga meningkat daripada 420 mata pada tahun 2012 kepada 438 mata pada tahun 2019. Tahniah saya ucapkan kepada guru-guru kita semua.

“Kita ada lima tahun lagi untuk melonjakkan kualiti pendidikan di negara kita supaya berada dalam kategori sepertiga teratas atau ‘the top third’ dalam penarafan kualiti sistem pendidikan antarabangsa,” katanya dalam Perutusan Khas Sempena Hari Guru hari ini.

Ketika ini kedudukan Malaysia secara keseluruhannya masih berada di bawah paras pencapaian purata negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang menuntut komitmen guru melipat gandakan lagi usaha dalam melonjak kualiti pendidikan setaraf antarabangsa.