Lima pemuda bantu penduduk pulau kekurangan makanan

SANGGUP menempuhi perjalanan darat dan laut berjam-jam demi mendapatkan bekalan makanan untuk penduduk Pulau Jambongan dekat Beluran yang kekurangan makanan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan.

Itu pengorbanan empat Ahli Jawatankuasa (AJK) dan guru Madrasah Darus Sunnah (MADS) Pulau Jambongan bersama seorang anggota polis.

Lebih mengagumkan, lima pemuda itu terpaksa menyewa khas sebuah kapal nelayan bagi mengangkut bekalan makanan kepada lebih 2,000 orang penduduk di pulau kedua terbesar di Sabah itu.

Pengerusi MADS, Norazam Hashimudin berkata, terdapat tujuh kampung di pulau itu dan sejak PKP dilancarkan penduduk kekurangan bekalan makanan dan barangan kedai runcit di pulau itu juga sangat terhad.

Menurutnya, perjalanan penduduk pulau juga sangat terhad dan ada sesetengah jeti ketika ini tidak membenarkan penduduk dari luar singgah dan perkara itu memberikan masalah kepada penduduk Pulau Jambongan yang ingin keluar membeli barang.

“Tetapi, bukan itu saja perlu difikirkan jika penduduk pulau ini ingin keluar membeli barang ke pekan atau bandar terdekat, kos pengangkutan juga harus diambil kira.

“Untuk keluar dari Pulau Jambongan perlu menaiki bot yang menelan belanja kos minyak enjin saja kira-kira RM250. Itu kos untuk pergi dan balik ke jeti di Paitan saja.

“Bagaimanapun tidak semua penduduk berkemampuan mengeluarkan perbelanjaan sebesar itu untuk membeli barangan asas ketika ini. Justeru, hasil perbincangan kami mengambil inisiatif mendapatkan bekalan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, sumber kewangan bagi membeli semua barangan itu dan lain-lain kos diperolehi daripada sumbangan orang ramai kepada pihak MADS dan pihaknya berterima kasih kepada semua penyumbang sehingga misi itu terlaksana.

Dalam misi sumbangan itu, sebanyak 400 pek bungkusan makanan asas berupa beras, tepung, minyak masak, dan mee diagihkan kepada 350 keluarga di semua kampung dalam Pulau Jambongan.

Bantuan turut diberikan kepada petugas barisan hadapan iaitu polis dan petugas klinik kesihatan di Pulau Jambongan.

Sementara itu, penduduk, Adrin Etang, 44, berkata, penduduk Pulau Jambogan sangat memerlukan bantuan.

“Kami sangat perlukan bantuan makanan seperti beras, gula, tepung dan minyak makan kerana kami terjejas oleh PKP.

“Justeru kami berterima pihak yang memberikan sumbangan berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan