Lima mengaku salah langgar PKP

LIMA lelaki mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini.

Pengakuan itu dibuat kelima-lima tertuduh di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh pertama, A Prashan, 21, mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, namun majistret menetapkan tarikh bagi hukuman pada 20 Mei depan.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Perkara 25(1)(n) PPN 1990 kerana gagal menunjukkan kad pengenalan.

Tertuduh dibenarkan jaminan sebanyak RM2,800 bagi ketiga-tiga pertuduhan, namun gagal membayar jaminan dan dihantar ke Penjara Sungai Udang sehingga tarikh sebutan semula hukuman pada 20 Mei nanti.

Sementara itu, tiga tertuduh, S Karthi, 22, S Arunkumar, 19, dan remaja berusia 16 tahun turut mengaku bersalah atas tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Ketiga-tiga mereka mengaku salah dan dikenakan denda RM1,000 setiap seorang manakala tertuduh juvana diberi tarikh sebutan semula pada 19 Mei depan memandangkan masih di bawah umur.

Bagi pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(n) PPN 1990 kerana gagal menunjukkan kad pengenalan, Arunkumar mengaku salah dan dikenakan denda RM1,500 atau satu bulan penjara.

Tertuduh gagal membayar denda dan dihantar ke Penjara Sungai Udang untuk hukuman sebulan penjara.

Mahkamah kemudian menetapkan untuk tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam pada 19 Mei depan.

Sementara itu, tertuduh kelima, Muhamad Nursyahid Rosman,19, mengaku bersalah dan dikenakan denda RM1,000 atau penjara 14 hari jika gagal membayar denda. Tertuduh kemudiannya membayar denda yang dikenakan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan