Lesen kilang penyebab pencemaran digantung

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah menggantung lesen sebuah kilang kelapa sawit selepas dipercayai menyebabkan pencemaran Sungai Malagatan di Tongod, Sandakan, Sabah.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, tindakan itu diambil selepas siasatan dilakukan JAS Sabah yang menerima aduan mengenai pencemaran sungai melalui media sosial pada 8 April lalu.

Beliau berkata, siasatan dilakukan bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan kakitangan Jabatan Air Tongod.

“Siasatan mendapati efluen bertakung di parit ladang yang terletak berhampiran Sungai Malagatan dalam jarak antara 100 hingga 200 meter. Lokasi takungan efluen itu terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pengairan tanah kilang kelapa sawit.

“Kilang berkenaan disyaki menyalurkan efluen sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Tongod dihenti tugas pada 8 April dan menjejaskan sumber air kepada pengguna di daerah Tongod,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Masrizal berkata, berikutan itu kementerian dan JAS Sabah mengambil tindakan tegas menggantung lesen kilang selama sebulan dan mengarahkan kilang berkenaan melakukan kerja pembersihan serta-merta di alur air yang mengalirkan efluen daripada kawasan pengairan ladang hingga ke Sungai Malagatan.

“Pihak kilang diarah mempercepatkan kerja pencucian kolam pengolahan efluen supaya mematuhi sepenuhnya syarat lesen yang dikeluarkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

“JAS juga membuka kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan di mahkamah ke atas kilang itu kerana gagal mematuhi syarat lesen mengikut Seksyen 16 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Katanya, beliau turut mengarahkan JAS meneruskan pemantauan pembersihan dan pembaikan yang diarahkan ke atas kilang itu, selain memantau punca pencemaran lain yang berpotensi menyebabkan pencemaran sungai di daerah Tongod.

Beliau menyeru orang ramai membantu JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel [email protected].

Portal berita Harian Metro pada Sabtu lalu melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tongod, Datuk Masiung Banah mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap pihak yang melakukan pencemaran di Sungai Malagatan.

Berita berkaitan

• Sungai Malagatan dicemari sisa kilang