Lelaki ugut tikam polis ditahan

LELAKI yang mengamuk di sebuah rumah di Kampung Sungai Bangat di Labuan ditahan selepas mengugut cuba menikam anggota polis kelmarin.

Dalam kejadian 9.45 malam itu, lelaki berusia 29 tahun terbabit cuba ditenangkan serta diarahkan supaya menyerah diri tetapi dia enggan dan bertindak agresif.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, polis kemudiannya bertindak melakukan serbuan mengejut ke dalam rumah berkenaan sebelum menahan suspek.

Menurutnya, pihaknya berjaya merampas sebilah pisau dipegang suspek ketika mengamuk dalam kejadian berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut dalam bilik suspek turut menemui sebilah pedang samurai sepanjang 110 sentimeter.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai warga Indonesia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Farid berkata, suspek bersama barangan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah menggunakan pisau dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tempoh tujuh tahun.

“Selain itu, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah samurai iaitu senjata berbahaya seperti yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, polis turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 28 dan 62 tahun kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Muhammad Farid berkata, kedua-dua lelaki terbabit kemudiannya dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan melakukan perjalanan merentas negeri dari Menumbuk, Sabah ke Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kedua-dua pesalah didapati melakukan kesalahan mengikut peraturan 6(3) Peraturan- Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan Tempatan Jangkitan)(No.6) 2020.

“Kesalahan yang dilakukan adalah pergerakan perjalanan merentas negeri tanpa kebenaran bertulis daripada ketua polis yang paling hampir dengan tempat kediaman masing-masing atas sebab khas,” katanya.