Lelaki tendang penghantar makanan ‘zalim’ – Zuraida

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin menyifatkan tindakan keras dilakukan seorang lelaki terhadap penghantar makanan wanita dalam kejadian di Puchong semalam sebagai zalim.

Beliau berkata, perbuatan lelaki yang dirakam dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu bukan saja tidak wajar, bahkan perlu menerima hukum setimpal.

“Saya dimaklumkan, wanita berkenaan sudah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan dan polis juga sudah membuka kertas siasatan.

“Saya ingin menegaskan bahawa wanita berkenaan juga adalah petugas barisan hadapan yang selayaknya dihormati setiap masyarakat dan keringatnya perlu dihargai dalam usaha negara memerangi pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas kejadian penghantar makanan wanita yang ditendang lelaki itu akibat salah faham dalam kejadian di Bandar Puteri Puchong, semalam.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, pengorbanan penghantar makanan tidak terkira kerana sanggup bekerja meredah hujan lebat dan berpanas semata-mata untuk memudahkan urusan orang ramai mendapatkan makanan.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, tidak kira walau di mana anda berada, tetaplah patuh kepada undang-undang negara dan terus menaruh sepenuh keyakinan kepada pihak berkuasa, khususnya PDRM untuk menyelesaikan isu ini dengan tertib dan aman.

“Pada masa sama, marilah kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, terus saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.