Lelaki maut dihempap kereta

LELAKI maut akibat parah selepas dihempap kereta dipandunya yang terbalik dalam kemalangan di Kilometer 339.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta Volkswagen Polo dipandu mangsa berusia 25 tahun terbabas menyebabkannya maut di lokasi akibat parah di badan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.14 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dan BBP Tapah dihantar ke lokasi kejadian.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa terbabas menyebabkan kenderaan terbabit terbalik dan mangsa didapati tersepit di bawahnya.

“Anggota bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian.