Lelaki mabuk nyaris rempuh sekatan polis [METROTV]

LELAKI dipercayai mabuk nyaris merempuh sekatan pemeriksaan polis di Kilometer 40.8 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Hutan Kampung dekat Alor Setar, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, suspek berusia 58 tahun yang memandu Proton Saga FLX itu dipercayai dalam perjalanan dari arah utara menuju ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun kereta yang dipandu suspek yang dipercayai menetap di Butterworth, Pulau Pinang itu dikatakan terbabas sebelum melanggar penghadang di tengah jalan lebuh raya berhampiran Plaza Tol Hutan Kampung.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, hasil ujian dijalankan mendapati paras alkohol dalam badan tinggi dan melebihi had ditetapkan.

“Suspek yang juga peniaga ditahan di lokap Balai Polis Alor Setar untuk membantu siasatan,” katanya.