Lapan jalan ke Pekan Kajang ditutup

 

 

LAPAN laluan ke Pekan Kajang akan dikenakan penutupan kekal bagi tempoh 24 jam berkuat kuasa bermula 12 tengah malam, Rabu ini hingga 14 April nanti.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, antara laluan terbabit penutupan berkenaan adalah Jalan Sungai Chua ke Terowong Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kajang, Jalan Reko ke Stesen Trasit Aliran Massa (MRT) Kajang, Jalan Cheras ke Jalan Timur (berhampiran Masjid Jamek Kajang) dan Jalan Semenyih ke Jalan Low Ti Kok.

Katanya, selain itu, susur ke Jalan TTDI Grove 2/1 dari arah Persiaran Saujana Impian serta Jalan TTDI Grove 1/1, Persiaran Saujana Impian ke Jalan Melor 1, Jalan Sungai Kantan dari arah Desa Jenaris serta dari arah Persiaran Saujana Impian dan laluan sempadan Bandar Seri Putra ke Nilai 3, Negeri Sembilan turut ditutup.

“Laluan alternatif ke Pekan Kajang adalah melalui dari arah Persiaran Saujana Impian dan Lebuhraya Grand Saga adalah

melalui Jalan Cheras ke Kajang, manakala dari arah Sungai Chua melalui Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK)Bke Lebuhraya Grand Saga ke Jalan Cheras Kajang.

“Bagi Jalan Reko pula melalui Lebuhraya SILK, Jalan Bukit ke Pekan Kajang, Jalan Low Ti Kok, Jalan Timur melalui Jalan Cempaka Kuning, Cempaka Putih ke pekan itu. Laluan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Mahkamah Kajang, MPKJ dan Kajang Plaza Medical Centre adalah melalui Jalan Timur dan Cempaka Kuning,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya juga akan melakukan tambahan tiga sekatan jalan raya di Kilometer 1 Lebuhraya Besraya menghala ke Universiti Putra Malaysia (UPM), Sungai Ramal Dalam yang menghala ke Putrajaya dan Jalan Cheras Batu 14 di hadapan KPJ Kajang menghala ke Kajang.

“Setakat ini, terdapat tujuh sekatan jalan raya iaitu di Lebuhraya Grand Saga menghala ke Kuala Lumpur, Plaza Tol Kajang, Plaza Tol Bangi, Plaza Tol Bandar Sri Putra, Plaza Tol Kajang Selatan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) selain Batu 21 dan Batu 24 Sungai Lui Hulu Langat yang juga kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Tindakan penutupan lapan laluan secara kekal dan pertambahan sekatan jalan raya dilakukan ini bertujuan untuk menghadkan

perjalanan orang ramai supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2 bagi membendung penularan Covid-19.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan